halaman

Monday, December 13, 2010

Kemaluan di toreh bapa.. Astaghfirullah...

SEREMBAN 12 Dis. - Seorang tukang kebun tergamak mendera anak lelakinya yang baru berusia empat tahun dengan menoreh kemaluan anak sulungnya itu di rumahnya di Taman Desa Dahlia, Senawang, dekat sini, Jumaat lalu.
Suspek berusia lingkungan 30-an, dipercayai melakukan perbuatan kejam itu ketika isterinya sedang berpantang di kampungnya di Jempol kerana melahirkan anak ketiga, beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, seorang lagi anak suspek berusia setahun dijaga oleh saudaranya yang tinggal berdekatan rumah mereka.
Katanya, kejadian itu terbongkar ketika suspek menghantar mangsa ke rumah saudaranya kerana hendak pulang ke kampungnya di Kuala Pilah.
"Suspek meminta saudaranya itu menjaga mangsa dan pada masa sama mengambil anak keduanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Saiful Azly, kecederaan anak sulung suspek disedari saudaranya berusia 20-an selepas mengesyaki sesuatu tidak kena terhadap kanak-kanak itu.
"Selepas melakukan pemeriksaan, wanita berkenaan terkejut selepas mendapati mangsa cedera di kemaluannya. Wanita itu kemudian menghantar budak tersebut ke hospital untuk menerima rawatan," ujarnya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis juga menemui anak kedua suspek yang ditinggalkan di sebuah surau di Kuala Pilah. Budak itu bagaimanapun bernasib baik apabila ditemui oleh penduduk kampung.
Tambahnya, anak kedua suspek itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Pilah dan pemeriksaan bagaimanapun mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Selepas meninggalkan anaknya di surau berkenaan, suspek dipercayai pulang ke rumah keluarganya di Kuala Pilah dan dia berjaya diberkas polis tidak lama selepas itu.
"Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan siasatan turut dilakukan bagi mengetahui punca suspek bertindak demikian terhadap anaknya," ujarnya.
Kata Saiful Azly, suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts