halaman

Sunday, December 12, 2010

Monorel Melaka tergendala lagi


ALOR GAJAH 10 Dis. - Operasi perkhidmatan Monorel Melaka di Sungai Melaka di sini, didapati mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan ia tergendala sejak tiga minggu lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, roda monorel yang sering mengalami kerosakan menyebabkan operasi perkhidmatannya yang berpusat di Taman Rempah tidak berjalan lancar.
Menurutnya, pada masa ini, pihak yang terlibat sedang dalam peringkat kajian untuk mengenal pasti alternatif terbaik bagi mengatasi masalah yang berlaku termasuk mengambil langkah menggantikan roda baru.
''Saya difahamkan, setiap kali selepas monorel itu membuat pusingan, ada sahaja roda yang terletak di bawah monorel itu bermasalah seperti patah dan sebagainya.
''Akibat masalah itu, monorel tersebut tidak dapat berfungsi sebaiknya seperti yang dikehendaki," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pembinaan Karakter Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Permata Resort Alor Gajah di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Mohd. Ali diminta mengulas rungutan orang ramai terhadap perkhidmatan Monorel Melaka yang didakwa tidak beroperasi mengikut jadual yang sepatutnya.
Perkhidmatan Monorel Melaka yang dibina dengan kos RM15.9 juta itu telah beroperasi pada 20 Oktober lalu dengan harga tiket RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
Melalui kemudahan itu, pengguna berpeluang menikmati keindahan bandar Melaka apabila monorel itu menyusuri Sungai Melaka sejauh 1.6 kilometer dari Stesen Hang Jebat di Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya sebelum berpatah balik ke Taman Rempah.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali memberitahu, setakat ini kerajaan negeri telah memanggil beberapa jurutera dari China bagi mengatasi masalah tersebut.
Ujarnya, operasi perkhidmatan Monorel Melaka dijangka bersambung semula minggu depan setelah masalah teknikal yang berlaku dapat diatasi sepenuhnya.
Katanya, antara masalah teknikal yang perlu diselenggara dengan segera ialah membaiki roda monorel tersebut yang dikatakan kerap patah selepas monorel itu bergerak dan membuat pusingan.
''Oleh itu, untuk tidak mengelirukan pelancong yang hendak menaiki monorel tersebut, pihak bertanggungjawab telah pun meletakkan notis amaran di bahagian pintu utama stesen monorel terbabit," katanya.


*baru nk bangga sket ngn melaka ni.. adoiyai...

No comments:

Post a Comment

Popular Posts