halaman

Tuesday, December 14, 2010

Majlis berkhatan beramai2.. tringat mse kcik2 dlu.. haha..^_^



ABD. Samad Ibrahim (duduk, dua kanan) beramah mesra bersama peserta majlis berkhatan beramai-ramai di Taman Matahari Height, Senawang, baru-baru ini.




RASAH 13 Dis. - Majlis berkhatan beramai-ramai harus dijadikan budaya dalam masyarakat demi menjalinkan silaturahim sesama jiran selain meringankan beban.
Oleh itu, penduduk Surau Taman Matahari Height dan persatuan penduduk taman berkenaan tidak ketinggalan untuk mengadakan majlis tersebut bagi meraikan seramai 12 kanak-kanak.
Program diatur dengan penuh adat Melayu termasuk pemberian bunga telur, berarak selain disiram pasukan bomba dan penyelamat.
Selain itu kanak-kanak tersebut juga sempat merasai layanan istimewa dan berpeluang makan semeja bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan, Datuk Abd. Samad Ibrahim yang hadir pada program itu.
Wakil jawatankuasa surau merangkap imam, Mohd. Nazri Esa berkata, program itu adalah penganjuran pertama kedua-dua pihak bagi melaksanakan khidmat masyarakat kepada penduduk taman berkenaan yang memerlukan.
"Berkhatan memerlukan kos agak tinggi kerana bayaran yang dikenakan bagi setiap individu mungkin membebankan segelintir ibu bapa. Ini menyebabkan kami tampil dengan program ini bukan sahaja untuk membantu malah menerapkan lagi semangat kejiranan di kalangan penduduk," katanya.
Menurutnya, prosedur berkhatan disempurnakan seramai kira-kira enam kakitangan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) terdiri daripada doktor pakar dan pembantu perubatan.
Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk, Asmadi Mat Nazir berkata, kebiasaannya majlis berkhatan dibuat secara individu dan terhad kepada keluarga dan jiran terdekat semata-mata.
"Bila dilakukan secara berkelompok, ia jadi lebih meriah," katanya.
Jelasnya, beberapa taman perumahan berhampiran termasuk Taman Desa Cempaka dan Taman Seri Pagi turut dijemput menyertai program sekali gus merapatkan lagi hubungan kejiranan yang terjalin.
"Masakan tengah hari pula telah disediakan sepenuhnya oleh ahli wanita yang bergotong-royong memasak pelbagai hidangan dan membuat hamper untuk peserta supaya program menjadi lebih bermakna kerana dapat mengumpulkan semua penduduk meraikan acara istimewa ini," katanya.
Katanya, bayaran yang dikenakan kepada ibu bapa adalah sebanyak RM100 bagi penduduk Taman Matahari Height dan RM150 bagi penduduk taman perumahan lain.
Dalam pada itu, ibu peserta, Juraini Ismail, 36, dari Taman Desa Cempaka berkata, penyertaan dalam program itu banyak membantunya mengurangkan kos khatan terhadap tiga anak lelakinya yang berusia dari tujuh tahun hingga 12 tahun.
"Ini memudahkan kami mengadakan kenduri doa selamat untuk mereka di samping berpeluang mengenali penduduk taman perumahan berhampiran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts