JEDDAH: Kumpulan pertama pelajar Malaysia di Mesir yang dibawa keluar dari
Kaherah pada jam 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia),
selamat tiba di sini. Kumpulan itu yang terdiri daripada
356 orang pelajar termasuk seorang bayi
Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS, Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang,
berkata MAS menggunakan pesawat itu bagi memaksimumkan jumlah pelajar
dan rakyat Malaysia untuk dibawa keluar dari Kaherah ke Jeddah. "Pesawat ini
mampu ulang alik sebanyak tiga kali dalam sehari. Pun begitu, hari pertama
kita tidaklah terlalu sukar (untuk mendarat di Kaherah) dan semuanya
berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, suasana ceria jelas terpancar di wajah pelajar yang berjaya
dibawa keluar dari Kaherah. Ada antara mereka yang menangis,
tertawa dan ada juga yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing menghubungi
ibu bapa untuk memaklumkan keadaan terkini mereka.
Haslisah Khalil, 19, pelajar ijazah jurusan perubatan di Universiti Ainshams
berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan kerajaan Malaysia
yang mengambil inisiatif membawa mereka pulang.
"Gembiralah...sebab keadaan amat menakutkan saya walaupun
telah diberikan perintah berkurung oleh pengurusan Rumah Negeri Selangor.
Kami hanya boleh keluar selepas 1 tengah hari. Itu pun dengan secepat mungkin.
"Perintah berkurung yang dikenakan ke atas kami bermula 8 pagi hingga
1 tengah hari. Waktu itu kami manfaatkan membeli barangan asas seperti
roti dan gula. Waktu itu juga, kami terpaksa berebut-rebut dengan wanita Arab,"
katanya yang kini berada di tahun satu jurusan tersebut.
Mohd Shauqi Ismail, 26, yang berasal dari Melaka berkata tindakan
kerajaan membantu warganya dalam kesusahan termasuk di luar
negara membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak, prihatin dan bertanggungjawab.
"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini. Sama ada bantuan tiba
menerusi kapal terbang, kapal, apa yang penting ialah keselamatan kita.
Jadi kita tak kira apa pun yang datang selamatkan kita," katanya.
Pelajar tahun satu jurusan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar itu turut
ditemani isteri yang juga menuntut di univerisiti itu dan anaknya berusia dua tahun.
Semua pelajar tersebut kini ditempatkan sementara di asrama Tabung Haji di sini.
Pemindahan pelajar selain mengunakan pesawat milik MAS, ia juga turut mendapat
kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di
Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.
Sejak 28 Januari lalu, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku
di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta,
Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
sumber: BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment